Ahad, 13 Jun 2010

NORTHPORT BANTAH KAPAL DAGANG ISRAEL

PELABUHAN KLANG 12 JUN - Rentetan daripada pendedahan kolumnis Utusan Malaysia, Zaini Hassan tentang kehadiran kapal-kapal perdagangan syarikat perkapalan Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang dalam ruangan Cuit lalu telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat Malaysia sama dalam kalangan ahli poltik atau pertubuhan NGO. Terbaru, kira-kira 100 orang ahli Kesatuan Kakitangan Northport (Malaysia) Bhd. (NMBSU) telah melahirkan bantahan mereka terhadap tindakan membenar kapal-kapal dagang Israel berlabuh di pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang tersebut.

Perhimpunan bantahan tersebut yang dilakukan di pintu masuk pelabuhan tersebut diketuai oleh Pengerusi NBMSU, Ahmad Abu. Sepanduk-sepanduk yang mengecam tindakan kejam rejim Zionis Israel terhadap sukarelawan misi kemanusiaan Gaza pada 31 Mei lalu turut dibawa di samping sepanduk memboikot Israel.

NBMSU turut menyerahkan memorandum bantahan kemasukan kapal-kapal Israel tersebut kepada Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Basher Hassan Abdul Kader melalui wakilnya.

Ahmat dipetik berkata; "Usaha perlu dilakukan supaya sebuah kapal Israel yang dijadualkan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 20 Jun ini ditegah daripada berbuat demikian. Jika berlaku juga kami akan memboikot kapal berkenaan."

Menurut laporan bahawa Gold Star Line Ltd. yang merupakan anak syarikat Zim Israel Navigation Company menyenaraikan beberapa buah pelabuhan di negara ini termasuk Pelabuhan Barat di Klang, Terminal Utara, Pulau Pinang dan Pasir Gudang, Johor sebagai pelabuhan untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan.


(ubahsuai dan sumber Mingguan Malaysia 23 Jun)

Sabtu, 12 Jun 2010

KEGANASAN DI KYRGYZSTAN

BISHKEK 11 Jun - Keganasan etnik yang tercetus di Kyrgyzstan telah meragut sekurang-kurangnya 37 orang manakala kira-kira 500 orang lagi cedera. Keganasan dilaporkan berlaku di Kyrgyzstan, bekas kubu Presiden yang telah digulingkan April lalu, Kurmanbek Bakiyev.
Menurut jurucakap kerajaan sementara, Azimbek Beknazarov, keganasan itu berpunca daripada sengketa etnik dan ia dirancang dengan rapi.
Sebelum itu, kerajaan sementara Kyrgystan telah mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung di kawasan terlibat, berikutan pertempuran antara kumpulan pemuda etnik Kyrgys dengan pemuda etnik Uzbek.
Para pemimpin serantau dan antarabangsa telah memberi amaran mengenai bahaya meletusnya perang saudara di negara yang mempunyai kedudukan strategik tersebut.

(ubahsuai dan sumber dari Utusan Malaysia 12 Jun)

'MASJID BESI' DIRASMIKAN

Putrajaya 11 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berkenan merasmikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang terletak di Presint 3, yang sekaligus menjadikan masjid tersebut sebagai mercu tanda baru pembangunan Putrajaya. masjid tersebut sebelum ini dikenali sebagai 'masjid besi' kerana keunikan reka bentuknya yang kontemporari serta pembinaannya menggunakan 6000 tan keluli (70 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan)manakala selebihnya diperbuat daripada konkrit.

Masjid yang bernilai RM 200 juta itu mula dibina pada tahun 2004, dan mampu menampung sekitar 20 ribu para jemaah pada satu-satu masa.Semoga dengan wujudnya masjid ini akan menyemarakkan lagi usaha dakwah dan perkembangan ilmu di samping sebagai suatu kemudahan kepada umat islam di sekitarnya dalam menunaikan ibadah.

(ubahsuai laporan dari Utusan Malaysia : 12 Jun 2010)

MUKADDIMAH

Assalamualaikum,
Warta Negara Ummah merupakan blog kedua yang telah saya hasilkan. Di dalam blog ini akan dipaparkan berita-berita yang berlaku di sekitar dunia Islam. Dunia Islam hanya ada satu sahaja. Namun malangnya ia ditadbir oleh pelbagai pemimpin yang berbeza fahaman politik dan ideologinya sehingga Negara Ummah ini berpecah-pecah dan dibatasi oleh sempadan geografi dan politik. Sayugia diharapkan, tatkala membaca laporan-laporan dalam laman blog ini, para pengunjung dapat 'menghapuskan' sempadan-sempadan tersebut dalam minda sebaliknya membayangkan bahawa setiap peristiwa yang dilaporkan itu ia berlaku dalam sebuah wilayah yang satu dan luas iaitu Negara Ummah. Cuma kita masih merindui akan kehadiran Sang Khalifah yang mampu menyatukan pecahan-pecahan negara Ummah ini pada masa akan datang.

Begitu juga, komen-komen daripada para pengunjung juga dialu-alukan bagi mewujudkan suasana perbincangan yang santai dan dengan hati yang penuh ikhlas serta berlapang dada. Semoga setiap paparan dalam laman blog ini nanti dapat memberi manfaat kepada kita semua.

SELAMAT MEMBACA.